ISTIQAMAH HINGGA KEMENANGAN

ISTIQAMAH HINGGA KEMENANGAN
PENYELIA DUN DABONG

Ahad, 12 Julai 2009

Pengundi Luar Perlu Diberi Cuti Bergaji - Presiden PAS

MANEK URAI, 12 Julai: Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menggesa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memainkan peranannya bagi memastikan para pengundi Manek Urai yang bekerja di luar kawasan mendapat cuti bergaji pada 14 Julai depan untuk membolehkan mereka pulang mengundi.

Kata beliau, SPR boleh mengkaji tempoh untuk mereka bercuti berdasarkan jarak tempat tinggal pengundi tersebut dengan tempat mereka mengundi dan juga faktor-faktor lain yang munasabah.

Kata Presiden PAS itu, badan yang menguruskan perjalanan pilihan raya di Malaysia itu juga perlu melakukan kempen besar-besaran dengan kerjasama media supaya pengundi luar balik menunaikan tangungjawab mereka.

"Saya percaya hari mengundi sengaja dibuat pada hari bekerja untuk menyukarkan pengundi luar pulang, sebab itu saya gesa SPR melakukan sesuatu untuk memastikan demokrasi tetap dijaga," kata beliau dalam sidang akhbar di bilik gerakan utama PAS bagi pilihan raya kecil DUN Manek Urai.

Abdul Hadi sebelum itu mendengar taklimat terkini tentang perkembangan di Manek Urai oleh Jabatan Pilihan Raya PAS Kelantan bersama-sama Timbalannya Nasharuddin Mat Isa, Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub, Setiausaha Agung PAS Datuk Mustapha Ali dan Bendahari PAS Dr Hatta Ramli.

Sebelum ini akhbar Siasah melaporkan mengenai perkembangan di Manek Urai di mana kedudukan PAS agak cemas sekiranya ramai pengundi di DUN tersebut yang menetap di luar kawasan khususnya sekitar Lembah Kelang tidak pulang mengundi.

Terdapat lebih dua ribu pengundi Manek Urai berada diluar kawasan dan sebahagian besar mereka dikatakan pengundi PAS berdasarkan pilihan raya umum ke-12 tahun lalu.

"Hampir keseluruhan pengundi yang ditemui sepanjang tempoh berkempen memberikan petanda positif kepada PAS, cuma kita bimbang dengan pengundi luar kawasan tidak pulang. Jumlah mereka besar," kata Abdul Hadi ketika diminta mengulas kedudukan mutakhir PAS selepas lima hari berkempen.

Sementara itu Salahuddin dalam sidang medianya sebelum itu turut mengakui PAS tidak boleh memandang rendah saingannya dalam pilihan raya kali ini setelah meninjau sendiri gerak kerja yang dilakukan termasuk apa yang dilakukan oleh pihak lawan.

"Satu-satunya pilihan yang PAS ada ialah terus berkerja kuat sehingga saat terakhir. Umno ada peluang untuk menang sekiranya PAS leka," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Sebarang maklumbalas/komen/aduan/cadangan berhubung DUN Dabong, Sila emailkan kepada : mtddabong@yahoo.com